Wednesday, October 19, 2005

Perginya Nurul Syafiqah

Moga dijauhkan suasana sebegini berlaku kepada kita.....


Rabu, 5 Oktober, 1 Ramadhan, jam 8.15 pagi. Segalanya berhenti. Deru angin,
kicau burung, juga lintasan dan angan-angan. Dengan lembut roh Nurul
Syafiqah bt Siti Hawa, 11 tahun, anak kedua kami dipisahkan dari jasadnya
sehingga saya, isteri dan tiga putera lainnya, Ahmad Luqman Hakim, Ahmad
Ikmal Syafiq dan Umar Mukhtar menyangkanya tertidur nyenyak.

Tragedi tidak bermula Subuh awal puasa itu.
Aturan Ilahi tentang kematian kerap menyentap, mengejutkan lena, memancung
cita-cita, namun punya rahsia tersembunyi, yang mungkin tidak terbongkar
sampai bila-bila.

Jumaat, 30 September, 12.45 tengahari. Syafiqah telefon dari sekolah. "Akak
tertinggal bas, boleh ayah ambil?" Saya terdiam, banyak kerja mesti
disiapkan; artikel politik kampus untuk harakahdaily baru setengah jalan.
"Akak jalan kaki, ya?" pintas Syafiqah selepas saya membatu.

Semalaman membakar pizza
"Tapi banyak barang kena bawa ni," asaknya tanpa nada mendesak. Hari itu
Syafiqah 'menjamu' guru-gurunya dengan juadah pizza masakan ibunya.
Semalaman dia menunggu pizza dibakar oven. Sememangnya Syafiqah suka sekali
membawa makanan ke sekolah, tidak lama dulu nasi daging.

Sehingga dia mengalah, saya langsung tidak terasa apa-apa bahawa Syafiqah
mulai letih dengan demam dan sakit tekak yang dideritainya. Petangnya
Syafiqah telefon maklumkan dia dapat tumpang kawannya balik.

Malamnya, apabila sampai depan rumah, lambat pula Syafiqah buka pagar.
"Awat lambat?" Saya merungut walaupun cahaya lampu kereta menyerlahkan muka
Syafiqah yang pucat.

"Akak cari tudung."
"Malam gelap, tak ada siapa nampak," jawab kebodohan saya.
Ketika itu tidak teringat langsung bahawa Syafiqah kini cukup prihatin
dengan aurat. Nak masukkan karung sampah di belakang rumah pun Syafiqah
pastikan bertudung dulu.

Set nasi ayam
Sabtu, 1 Oktober, sepatutnya saya tunaikan janji dengan Syafiqah. Selepas
tamat UPSR dan PSRA, dua hari sebelum itu, Syafiqah minta set nasi Ayamas.

"RM5 saja ayah. Akak teringin nak makan dengan kawan. Kami jalan kaki pun
boleh." Masya-Allah, saya seolah-olah tidak mendengarnya sambil memberi
jawapan tidak pasti, "esok ... esok."

Isteri saya, Siti Hawa memberitahu Syafiqah tidak selera makan malam tadi
apabila saya minta izin ke KL hadiri mesyuarat penggerak demokrasi bersama
Mat Sabu. Nasi goreng kampung dengan sambal belacan kegemarannya hanya
ditatap, kemudian disimpan dalam peti sejuk. Saya masih tidak terasa
apa-apa sedangkan takdir hanya menunggu masa.

"Ayah pi sekejap aja, sebelum tengahari selesai, nanti malam kita balik
kampung," kata saya kepada Syafiqah sambil berjalan ke kereta. Raut muka
cerianya seperti terlindung. Saya seakan terlupa Syafiqah anak berjiwa
kental, sesekali tidak menunjukkan rasa sakit minta dimanja walaupun
sememangnya sedang menderita.

Lewat petang, selepas menukar tayar kereta di Hulu Kelang, memecut laju ke
asrama anak sulung kami, Luqman, di SAM 10, Cheras. Aduhai, janji dengan
Syafiqah sudah luput.

"Bawa akak ke klinik, tekak makin perit," katanya, juga tanpa menunjukkan
rasa sakit.
Masih sempat bermain-main
Klinik famili kami, Dr Mahyuddin Yassin tutup. Saya ke klinik sebelah,
dekat Taman Sri Ampang. Semasa menunggu, Syafiqah bermain-main dengan dua
anak kecil. Nampak letih tetapi tetap gembira.

Saya berbisik, "Nak balik kampung?" "Ayah baliklah dulu, akak boleh tinggal
dengan nenek," balasnya.
Ketika neneknya datang malam itu, kami sudah bersiap nak balik Kedah.
Syafiqah tenang saja. Kalau anak lain tentu akan merengek. Emak mentua saya
akan membawanya ke hospital periksa darah, takut-takut denggi.

Dalam perjalanan kami dimaklumkan Syafiqah tidak diserang demam maut itu.
Lega. Melalui SMS, dan itu kali pertama Syafiqah menggunakannya, dia
bertanya, "ayah di mana?" Sambil melintasi Taiping, saya menjawab. Selang
beberapa lama nada SMS berbunyi, juga dari Syafiqah, soalan sama, di
samping memberitahu dia muntah.

5 pagi, kami sampai di Kampung Raja, Kubang Pasu. Saya maklumkan kepada
Syafiqah. Kemudiannya kami diberitahu Syafiqah malam itu asyik sembang
dengan neneknya, maklumkan kandungan SMS.

Ahad, pagi ke petang (begitu juga Isnin) temujanji saya padat di Alor
Setar, Syafiqah terus SMS. "Mulut akak pahit, nak buat macamana." Saya
menjawab, dan Syafiqah bertanya hal lain pula. Sehingga malam baru saya
sedari SMS tadi rupanya "gagal dihantar". Ya Allah, rupanya Syafiqah terus
menunggu dan menunggu ...

Selasa pagi kami berangkat pulang. Walaupun jangkanya dapat bertolak
sebelum jam 10, tapi disebabkan singgah banyak rumah saudara-mara, itu pun
tidak sempat menziarahi pusara bonda Aisyah (sesuatu yang tidak pernah saya
tinggalkan jika balik kampung), menjelang 1 tengahari baru kami keluar ke
Pekan Tunjang, seterusnya ke Lebuhraya Utara Selatan.

Di rumah neneknya, Syafiqah makin lemah tidak berselera makan, dan asyik
menyebut nama ayah dan ibunya. Tapi bicaranya tetap ramah, suaranya masih
bertenaga. Kami solat Maghrib di R&R Sg Buloh. Syafiqah desak saya jemput.
Sekali lagi, ayah yang tidak mengerti perasaan anak di hujung usia itu,
minta tangguh esoknya, atas alasan letih.

Celoteh bersama Luqman
Syafiqah berkeras. Dia menggesa nenek dan pamannya hantar segera ke Bukit
Ampang. Ketika Syafiqah tiba, saya keletihan di katil. Namun terdengar juga
celotehnya dengan Luqman. Dia bercerita tentang bagaimana darahnya
diperiksa. Saya dimaklumkan kemudiannya, Luqman pun tidak memberikan
respons sewajarnya, juga kerana letih dan mengantuk.

Awal pagi terdengar Syafiqah asyik masuk keluar bilik air, muntah. Ibunya
berlari-lari anak menyantuni, antara Syafiqah dan adik kecilnya, Nurin
Afifah, 2 tahun, yang juga terbatuk-batuk. Setengah jam sebelum Subuh kami
sekeluarga di meja makan, bersahur, termasuk Syafiqah.

"Fiqah tak payah posalah," kata saya. Ampun Tuhan, suara suara agak tinggi
minta Syafiqah kembali tidur dan berehat, kebetulan kerusi di meja makan
tidak cukup untuk semua kami.

7.45 pagi, 1 Ramadhan, isteri mengejutkan lena saya. Syafiqah menjerit:
"Ibu, sakit! Ibu, sakit! Dari atas saya mendengar suara Syafiqah cukup
kuat, tidak pernah dia menjerit selantang itu.

Melihat keadaannya, jantung saya berdegup kencang. Taqdir makin dekat. Tahu
ibunya menyidai basuhan, Syafiqah bersuara, agak perlahan: "Dahlah ibu,
suruh abang sidai kain, akak sakit ni."

Kuatnya semangat Syafiqah
Tapi bicara Syafiqah masih jelas, dia sendiri minta ke hospital. Saya
renung matanya, langsung tidak berair, maknanya dia hanya menjerit bukan
menangis. Ya Allah, kuatnya semangat anakku ini. Sememangnya sejak malam
tadi saya berkira untuk ke hospital pagi-pagi esoknya.

Namun, saya dan Siti langsung tidak terlintas Syafiqah akan berangkat ke
alam lain, meninggalkan fitnah dunia. Rupanya Siti sudah memandi dan
membersihkan tubuhnya.

"Bagai bayi saya mandikan Syafiqah, cuci rambutnya. Nampak kakinya kuning,
tubuhnya sejuk, tapi langsung tidak terbayang dia mahu pergi selamanya,"
cerita Siti kemudiannya kepada kawan-kawan yang menziarahi.

8.00 pagi. Suara Syafiqah tetap jelas bila meminta saya memapahnya keluar
dari bilik solat. Bersama Siti, saya menuntunnya ke ruang tengah. Selepas
didudukkan, saya perhatikan wajahnya seolah-olah tanpa darah. Ketika itu
baru lintasan hati mengilhamkan sesuatu yang pedih dan perit.

Syafiqah masih sempat minta saya papahnya ke kerusi panjang di depannya,
mungkin dia mahu berbaring. Saya cuba mengangkatnya tapi tidak terdaya,
Syafiqah terasa berat.

Semasa sibuk mengemas untuk ke Hospital Ampang Puteri - 4 km dari rumah
kami - saya, Siti dan anak-anak terpandang Syafiqah seperti menarik nafas
panjang, dua kali. Lehernya terlentok.

Subhanallah, janji Allah sudah sampai. Mata saya dan Siti berpandangan,
namun kami tidak sempat memberi reaksi lain kecuali mempercepatkan Syafiqah
ke hospital.

Terasa hangat
Hati saya berkata-kata sambil cuba menatang tubuh Syafiqah yang masih
terasa hangatnya. Selepas menghidupkan enjin kereta saya memanggil jiran
sebelah, William, sama-sama mengangkat Syafiqah.

Berkali-kali namanya dipanggil. Syafiqah nampak seperti nyenyak tidur.
Dalam kelam-kabut itu saya pandangan saya letak ke wajah Siti, ibu yang
mengandungkan Syafiqah dan Syafiqah membesar di depannya sehingga menginjak
usia 11 tahun.

Harapan ibu tetap tinggi. Sambil memangkunya di kerusi belakang, Siti tidak
putus-putus menyebut nama Allah. Air mata tidak sempat tumpah lagi. Tumpuan
saya ke arah jalan raya yang sibuk pagi itu. Perjalanan ke hospital terasa
begitu aneh, kiri kanan jalan seperti sunyi sepi. Degupan jantung kuat
sekali.

Tangan kanan memegang stereng, tangan kiri menjamah tubuh Syafiqah. "Panas
lagi," harap Siti walaupun menyedari tiada apa yang bergerak di tubuh
Syafiqah.

Mulut saya terkunci. Mata terasa panas. Bergenang air mata Siti tapi
harapannya tidak pudar.
Saya memberhentikan kereta di lobi kecemasan. Hon dibunyikan bertalu-talu.
Melihatkan reaksi awal kakitangan hospital ketika mereka mengangkat tubuh
Syafiqah, jawapannya jelas dan pasti. Syafiqah sudah pergi meninggalkan
kami.

Ketika saya memimpin Nurin dari kawasan letak kereta, dan Siti sedang
menemani Syafiqah, saya belum dimaklumkan secara rasmi tentang kehilangan
jantung hati kami itu.

Namun berat sekali kaki diheret menaiki tangga. Saya mendukung Nurin sambil
menciumnya: "Kakak dah tak ada Nurin."
Sebaik melangkah masuk hospital, saya nampak Siti sedang mengisi keterangan
peribdi Syafiqah. Saya dengar hampir semua maklumat penting Syafiqah yang
diberikannya salah.

Ketara pucat
Siti menoleh ke arah saya, wajahnya tenang walaupun ketara pucat. Saya
tidak perlu bertanya lagi. "Fiqah dah tak ada, bang," getar suaranya jelas.

Berdepan jasad kaku Syafiqah, terlintas, bagaimana sewaktu tiga tahun saya
menderita sakit misteri, terlantar di rumah, tidak mampu bekerja, saya
sering terhibur dengan celotehnya, gurau manjanya, malah puas terasa bila
dia mengurut lenguh badan. Kerap dia teresak-esak menangis bila melihat
saya mengerang kesakitan.

Tapi, ya Allah, apabila dia menderita sakit, saya tiada di sisi, malah
tidak pun sempat melayannya dengan baik, dan banyak janji tidak tertunai,
walaupun sekadar nasi Ayamas yang selalu disebutnya.

Air mata mula tumpah dan hingga kini, selepas seminggu, air mata itu belum
mahu kering lagi. Al-Fatehah. - UM


"When the going gets tough, the tough keeps going"

--------------------------------------------------------------------------------------







PETIKAN DARI E MAIL YG SAYA TERIMA DR KAWAN

No comments: